Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini dilihat bersama-sama para pemimpin dan perwakilan menyanyikan lagu UMNO ‘Bersatu, Bersedia, Berkhidmat’.
Sambil mengibarkan bendera Sang Saka Bangsa, Datuk Seri Anwar dilihat tidak janggal menyanyikan lagu itu biarpun sudah 25 tahun tidak bersama UMNO.
Kali terakhir Datuk Seri Anwar menjejakkan kali ke PAU adalah pada tahun 1998 ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO, sebelum dipecat.
Terdahulu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri naik ke pentas sempena perasmian PAU 2023.
Ahli Parlimen Tambun itu tiba jam 9 pagi tadi bersama pemimpin-pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.