comscore
Tumpuan :
Politik

Anwar mampu lakukan perubahan – Adly

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka yakin pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mampu melakukan perubahan dari segi sosio ekonomi negara.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, antaranya meningkatkan keyakinan pelabur asing dan menunaikan tanggungjawab membela nasib rakyat di seluruh negara.

“Kita berharap kerajaan yang dibentuk dapat membantu rakyat sebagaimana kita tahu sekarang ini rakyat sedang menghadapi bebanan kos sara hidup dan tentulah kita mahu pelantikan Datuk Seri Anwar ini dapat meneruskan agenda kita selama ini.

“Kita juga mahu menyaksikan peningkatan ekonomi kerana dengan pelantikan beliau, kestabilan negara akan lebih kukuh apabila wujud keyakinan pelabur untuk menanam modal dalam negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada nama beliau akan disenaraikan sebagai anggota kabinet, Ahli Parlimen Alor Gajah itu menyerahkan keputusan itu kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara petang tadi.

Loading...
Terkini