comscore
Tumpuan :
Politik

Anwar, Guan Eng didesak jawab pendedahan Azmin

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

PUTRAJAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, digesa menjawab setiap pendedahan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia termasuk dakwaan sekatan peruntukan untuk masyarakat Bumiputera ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada 2018 hingga kerajaan itu terbubar pada Februari 2020.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merujuk kepada pendedahan pada 29 Oktober lalu berkata, pemimpin DAP iaitu Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan ketika pentadbiran PH, menyekat peruntukan sebanyak RM400 juta kepada peniaga kecil Melayu Bumiputera Melayu.

Ujarnya, jumlah itu membabitkan dana setahun yang sepatutnya disalurkan kepada Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), iaitu unit bawah Jabatan Perdana Menteri yang penubuhannya untuk memperkasakan ekonomi masyarakat Bumiputera.

Katanya, tindakan itu amat mengejutkan dan membimbangkan.

“Kenapa PH dan pemimpinnya Anwar berdiam diri mengenai perkara penting yang membabitkan ekonomi Bumiputera sehingga kini?

“Di mana ketelusan yang sering disebut oleh PH?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, Mohamed Azmin yang juga menteri Kabinet ketika itu, pernah membantah tindakan Guan Eng dengan menyuarakannya kepada Perdana Menteri ke-tujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Guan Eng juga bertanggungjawab mencantas dana penambahbaikan jalan raya bagi kawasan FELDA, daripada 1,000 kilometer (km) kepada hanya 300 km serta percubaan untuk menutup Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang menyediakan modal bagi perniagaan Bumiputera untuk mengambilalih syarikat-syarikat strategik.

Justeru, Ahmad Faizal menggesa Anwar yang juga calon Perdana Menteri PH untuk menjawab beberapa persoalan.

Antaranya, adakah jika dilantik menjadi Perdana Menteri kelak, Anwar mampu menjamin bahawa hak ekonomi Bumiputera Melayu akan dipertahankan, memandangkan bahawa DAP adalah parti dominan dalam PH?

“Adakah Anwar pernah membantah dalam Majlis Presiden PH terhadap tindakan-tindakan yang memprejudis ekonomi Bumiputera oleh Menteri Kewangan DAP seperti dinyatakan?

“Apakah pemimpin DAP akan sekali lagi diberi jawatan Menteri Kewangan jika PH dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

“Apakah justifikasi Guan Eng dan PH untuk menyekat peruntukan Bumiputera Melayu dalam zaman pemerintahan PH?” katanya.

Ahmad Faizal berkata, sehingga kini, tiada seorang pun dari PH atau Guan Eng atau Anwar yang berani memberi respon terhadap pendedahan oleh Mohamed Azmin Ali kerana rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.

“Anwar dan PH tidak wajar terus membisu,” katanya.

Loading...
Terkini