Tumpuan :
Politik

Anwar bebas melakukan apa sahaja demi kebaikan negara – Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mengambil serius kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kurang yakin dengan kemampuan beliau sebagai Perdana Menteri.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pandangan bekas Perdana Menteri itu perlu diabaikan berdasarkan prestasinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Beliau bukan sahaja tewas di (kerusi Parlimen) Langkawi, malah hilang wang pertaruhan bersama calon lain yang bertanding mewakili parti dipimpinnya.

“Anwar bebas melakukan apa sahaja demi kebaikan negara dan kita harus membenarkannya berbuat demikian,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Dalam temuramah bersama BH, Dr Mahathir khuatir dengan kemampuan Anwar dalam menguruskan negara.

Beliau berkata, tumpuan Ahli Parlimen Tambun itu lebih untuk mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri manakala perancangan mengatasi masalah negara susulan kesan pandemik, kemerosotan ekonomi dan ketidakstabilan politik, masih belum diberi perhatian.

Dr Mahathir turut mengimbau ketika beliau melantik Anwar sebagai pemangku Perdana Menteri pada 1990-an yang mana Presiden PKR itu gagal menangani masalah berhubung kejatuhan nilai ringgit ketika itu.

Mengulas mengenai dakwaan Dr Mahathir itu, Mohamed Nazri berkata, beliau ada bercakap dengan Anwar ketika kejadian sebelum dimaklumkan bahawa Anwar tidak mempunyai sebarang kuasa.

“Walaupun Dr Mahathir sedang bercuti ketika itu, beliau mengawal segala-galanya,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata pandangan negatif Dr Mahathir yang konsisten terhadap Anwar seharusnya diendahkan.

“Rakyat perlu bersama Anwar kerana kita sedang berdepan dengan cabaran ekonomi yang memerlukan semua pihak untuk bekerja sama.

“Setakat ini, strategi dan kenyataan Anwar dilihat proaktif dan keutamaan yang diberikan berada di landasan yang tepat,” katanya.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata Anwar dilihat jauh ke hadapan berbanding bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Anwar tegas dalam apa yang beliau mahu lakukan. Beliau adalah teraju utama dan semua kementerian hanya menunggu hala tuju yang akan dibawanya,” katanya.

Loading...
Terkini