comscore
Tumpuan :
Nasional

“Anthony Loke bertanding di Pulau Pinang sama dengan Chow Kon Yeow bertanding di Seremban”

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam sidang media di KOMTAR tengah hari tadi

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menafikan ura-ura yang mengatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bakal bertanding di Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang. Menurut Chow yang juga Naib Presiden DAP dakwaan kononnya Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban bakal berpindah ke Pulau Pinang itu tidak perlu diberi tumpuan dan digembar-gemburkan.

“Khabar angin itu (Anthony Loke bertanding di Pulau Pinang) sama dengan Chow Kon Yeow bertanding di Seremban. Justeru, apabila mendengar khabar angin, boleh menggunakan kebijaksanaan untuk menilai sama ada khabar angin itu sedikit berasas atau tidak. Kalau langsung tidak berasas, anggapnya sebagai khabar angin sahaja, kenapa nak tulis?

Kalau masih mahu tulis, respon saya ialah bagaimana kalau tulis Chow Kon Yeow bertanding di Seremban kelak? Orang akan ketawa nanti kalau baca,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ketua Menteri di KOMTAR di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai laporan sebuah akhbar yang mendakwa timbul ura-ura bahawa Anthony Loke bakal bertanding di Pulau Pinang dan mengambil alih jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRN akan datang.

Bagaimanapun, ia turut melaporkan sumber DAP telah menafikan khabar angin berkenaan.

Ujar Chow, media boleh menggunakan budi bicaranya sama ada mahu menerbitkan khabar angin yang tidak berasas sama sekali yang hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat. “Anda (media) bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengesahkan khabar angin, malah anda juga boleh menentukan sama ada khabar angin yang tidak benar perlu ditulis atau tidak,” tambah beliau.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Chow tidak akan dikekalkan sebagai Ketua Menteri selepas PRN, sebaliknya akan digantikan dengan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. Namun, ia turut dinafikan oleh bosnya, Anthony Loke yang berkata tiada cadangan untuk menggantikan Chow.

Chow dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota selama 4 penggal serta turut dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan di Pulau Pinang dalam PRU ke-15.

Loading...
Terkini