Tumpuan :
Nasional

Anak bekas Ahli Parlimen Pasir Salak antara 7 muka baharu ketua wanita UMNO bahagian di Perak

Datin Seri Rahayu Tajuddin.

IPOH: Datin Seri Rahayu Tajuddin membuat kejutan dengan menang dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO Pasir Salak selain memenangi jawatan EXCO Wanita UMNO pusat apabila mendapat undi ketiga tertinggi dengan 320 undi.

Beliau yang juga anak kepada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, adalah antara tujuh muka baharu dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO bahagian di Perak dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2023-2026.

Enam lagi muka baharu terpilih mengetuai sayap Wanita bahagian adalah Taslimah Jalaludin (Padang Rengas), Norsyuhada Baharon (Bagan Serai), Fadilah Othman (Kuala Kangsar), Noreshah Saaiddin (Parit), Juliliyana Mohd Junid (Gopeng) dan Anis Salmi Mansor (Tapah).

Selain itu, pemilihan di Perak turut menyaksikan 10 ketua wanita UMNO bahagian diumumkan menang tanpa bertanding termasuk Taslimah selaku muka baharu.

Baki yang menang tanpa bertanding adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin di bahagian Tanjung Malim, Saliza Ahmad (Larut), Norsalewati Mat Norwani (Parit Buntar), Datin Yatimah Khalid (Taiping) dan Masarah Abdullah (Ipoh Timur), Mazlina Musa (Batu Gajah), Zaleha Mohd Said (Kampar), Sabariah Zakaria (Lumut) dan Zainun Ahmad (Teluk Intan).

Mereka yang mempertahankan jawatan masing-masing pula ialah ADUN Temengor, Salbiah Mohamed di bahagian Gerik, Romaizar Mat Ali (Lenggong), Norlela Che Man (Bukit Gantang), Datuk Zaitun Ab Rahman (Sungai Siput), Surai Hussin (Tambun), Norul Huda Ahmad Nator (Ipoh Barat), Salmah Sojak (Beruas) dan Zarozatin Isa (Bagan Datuk).

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan diadakan antara 1 hingga 26 Februari lalu.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac lalu.

Ini disusuli Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di seluruh negara pada 18 Mac depan. – BERNAMA

Loading...
Terkini