KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding 31 daripada 245 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Kedah dan Selangor masing-masing sembilan kerusi diberikan kepada Amanah diikuti tujuh untuk Kelantan dan masing-masing dua kerusi di tiga lagi negeri yang terlibat dalam PRN itu.
“Dari segi calon, seramai 15 adalah muka baharu dan masing-masing tujuh orang calon muda dan wanita termasuk mengekalkan beberapa penyandang. Pemilihan calon muda dibuat berdasarkan aktif memberi sumbangan kepada parti dan bergerak dengan betul,” katanya ketika sidang media sempena pengumuman calon di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.
Menurut Mohamad, langkah itu dibuat sebagai persediaan kepada calon terbabit sebelum diangkat bagi memimpin parti pada masa akan datang.
Tambahnya, pihaknya akan membuat rundingan berhubung dua lagi DUN iaitu Tepuh dan Bandar di Terengganu dan dijangka dapat diputuskan dalam masa terdekat.
Tegas Mohamad, perebutan calon untuk dua DUN itu bukan masalah besar dan pelik.
“Kita akan buat rundingan untuk dua DUN itu dan kena segerakan malah paling lewat pun sebelum penamaan calon. Tiada masalah apa-apa sebab semua nak tempat ini, bukan perkara pelik,” katanya.
Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebelum ini menyuarakan rasa terkejut apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan akan meletakkan calon di DUN Tepuh.
Sebelum ini, Amanah Terengganu juga berharap dibenarkan bertanding di kerusi DUN Bandar dengan harapan strategi itu dapat membantu BN memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos manakala penamaan calon pada 29 Julai.
PRN 2023 ini membabitkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).