comscore
Tumpuan :
Politik

AMANAH mesyuarat minggu depan namakan calon PRK Pulai, Simpang Jeram – Aminolhuda

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Johor akan mengadakan mesyuarat khas sebelum 10 Ogos ini untuk menamakan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, menurut Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Aminolhuda Hassan.

Katanya pengurusan Amanah negeri telah mengadakan mesyuarat sebelum ini dan meminta pimpinan Pulai serta Bakri untuk mengemukakan senarai calon mereka.

“Senarai nama calon akan dihantar kepada Amanah Nasional selepas itu. Keutamaan adalah calon pemimpin Johor dan mestilah daripada kalangan pimpinan yang terbaik di peringkat kawasan atau negeri.

“Selain itu, mestilah berintegriti, mudah didekati oleh rakyat dan berjiwa rakyat serta mampu meneruskan agenda Rahmah peninggalan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor yakin kedua-dua kerusi berkenaan kekal milik parti itu berdasarkan prestasi baik Salahuddin sebagai wakil rakyat.

“Selain Allahyarham yang sering turun ke lapangan, terdapat kakitangan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dan Parlimen Pulai yang sangat komited mendekati rakyat serta membantu menyelesaikan masalah rakyat jika ada,” tambah Ahli Parlimen Sri Gading itu.

Beliau turut berterima kasih atas sokongan dan dukungan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi laluan kepada Amanah kekal bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

“Dari segi persiapan dan jentera parti, insya-Allah telah siap sedia dan saya yakin kerjasama daripada rakan-rakan Barisan Nasional Johor akan turut serta membantu memastikan kemenangan milik Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 September depan.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – BERNAMA

Loading...
Terkini