Tumpuan :
Politik

“Allah Jadi Saksi, Saya Tak Merapu, Menipu” – Asyraf Wajdi

Foto: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan dirinya bercakap benar berhubung isu 47 kerusi yang dijanjikan BERSATU buat PAS jika parti itu memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Asyraf Wajdi berkata, perkara itu dimaklumkan wakil PAS ketika pertemuan antara pemimpin parti berkenaan dengan UMNO, baru-baru ini.

“Allah menjadi saksi, ramai juga menjadi saksi bahawa saya tidak merapu dan tidak menipu, jauh sekali memungkiri sebarang janji,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan wujudnya perbincangan mengenai tawaran 47 kerusi daripada BERSATU kepada parti itu.

Tuan Ibrahim turut membidas tindakan Asyraf Wajdi yang ‘membongkar’ pertemuan antara tiga pemimpin parti itu bersama beberapa barisan pemimpin dalam UMNO dengan memuatnaik gambar terbabit di Facebook milik beliau.

Namun, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mempertahankan tindakan Asyraf Wajdi dengan mengatakan bahawa beliau tidak merapu dan tidak menipu bersama bukti gambar.

Berdasarkan gambar yang dimuatnaik Asyraf Wajdi sebelum ini, kelihatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sedang mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim di meja makan.

Asyraf Wajdi turut menerangkan bahawa gambar itu adalah membabitkan pertemuan lapan mata antara presiden dan timbalan presiden kedua-dua parti yang dibuat pada 12 Oktober iaitu sehari sebelum PAS membuat keputusan kekal bersama PN dalam mendepani PRU-15 nanti. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini