comscore
Tumpuan :
Politik

Aiman Athirah tak hiraukan gesaan Maszlee

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUCHONG: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu tidak mahu menghirtaukan gesaan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menyarankannya melepaskan semua jawatan beliau susulan kontroversi baru-baru ini.

Aiman sebaliknya menegaskan, beliau akan memberikan fokus untuk berkhidmat kepada rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaiknya sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Tanya dia lah, untuk ini saya nak sebutkan begini lah, kita diperingkat KPKT ada banyak kerja lagi yang perlu kita berikan tumpuan.

“Menjadi keutamaan saya adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaku Timbalan Menteri yang sebenarnya salah satu kementerian besar yang memerlukan santunan kepada seluruh rakyat kita tanpa mengira kaum dan di seluruh negara bukan semata di tempat atau konstitusi saya.

“Saya tak mahu lah terheret dengan benda benda yang sebenarnya tak ada isu, saya telah menyatakan permohonan maaf saya seandainya melakukan kekhilafan dan selebihnya itu saya kira perlu maju terus untuk kita menumpukan kerja kita, rakyat memerlukan pembelaan rakyat memerlukan perkhidmatan insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Program Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komunini MADANI di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana di sini hari ini.

Semalam Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr Maszlee Malik menggesa Aiman Athirah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Sepang dan Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah).

Ia susulan kehadiran pemimpin itu pada majlis dianjurkan sebuah sekolah vernakular bagi tujuan mengumpul dana persekolahan yang turut membabitkan penajaan daripada syarikat arak.

Maszlee juga bekas Menteri Pendidikan berkata, kehadiran beliau pada majlis seumpama itu satu insiden memalukan dan menjatuhkan imej Amanah dan rakyat Parlimen Sepang yang memilihnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini