Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua hari ini.
Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, Chendering di sini kira-kira jam 3.18 petang tadi.
Ahmad Samsuri, 53, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu dilantik semula ke jawatan itu selepas PN memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS adalah Menteri Besar Terengganu yang dilantik dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 10 Mei 2018 selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pada PRN Sabtu lalu, Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang yang disandangnya sebelum ini selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman.
Ahmad Samsuri yang memperoleh 20,927 undi mengalahkan Suhaimi mendapat 3,641 undi dengan majoriti 17,286 undi.
Pada PRU14, beliau yang pertama kali bertanding di kerusi DUN Ru Rendang menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.
Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon PKR, Sarawi Sulong (729 undi).