KOTA BHARU: PAS akan mengambil tindakan tegas, termasuk memecat ahli yang didapati menyokong parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
12 Ogos ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu juga tidak akan teragak-agak untuk menggantung keahlian individu yang didapati berbuat demikian.
“PAS tidak akan berkompromi dengan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ahli parti yang bertindak menentang calon yang diumumkan oleh parti atau sebaliknya.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin sama ada memecat atau menggantung keahlian. Kita tidak akan berkompromi dalam beberapa tindakan yang meruntuhkan ummah yang kita bina ini, jangan jadi penghalang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.
Tuan Ibrahim turut meminta semua pihak supaya bersatu-padu dan berpakat untuk membina kekuatan ummah.
“Semoga Allah SWT membantu dan menolong kita serta memberi kekuatan pada kita untuk menghadapi PRN pada 12 Ogos akan datang,” katanya.