Oleh: Kumaran Rajamoney
BAGAN DATUK: Ahli Parlimen tidak boleh membezakan layanan kepada rakyat berdasarkan sokongan yang diterima ketika memenangi kerusi yang diwakili.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, Ahli Parlimen sebaliknya perlu bersikap ‘buta warna’ dalam memberikan khidmat, melangkaui batas politik, bangsa, atau agama.
“Apa juga pegangan politik sahabat saya dari masyarakat India, saya tetap mengekalkan kemesraan dengan mereka. Itu pegangan saya.
“Saya juga memastikan untuk kembali merayakan Tahun Baharu Cina bersama rakan-rakan kaum Cina, meskipun ibu angkat saya sudah meninggal dunia. Begitu juga, saya cuba mengekalkan hubungan erat dengan orang Melayu,” katanya.
Tambahnya, pendekatan itu boleh menjadi contoh terbaik bagi meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan anak muda.
“Sebagai wakil rakyat di Bagan Datuk, saya mahu kita menjadi nombor satu dari segi perpaduan semua bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan RC di Hutan Melintang, di sini, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.