Tumpuan :
Nasional

Agihan kerusi PRN harus diadakan sesama gabungan, bukan antara parti komponen sahaja

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) harus diadakan sesama gabungan dan bukannya hanya di antara parti komponen sahaja.

Justeru, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap isu pembahagian kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dapat diselesaikan mengikut ketentuan beberapa formula bersesuaian.

“Kita pada peringkat negeri sudah mengadakan perbincangan pembahagian kerusi, biarpun belum dimuktamadkan. Kita yakin komposisi pembahagian kerusi itu akan mengikut beberapa kesesuaian daripada kerusi yang sudah dimenangi parti dalam PH.

“Tapi, kami rasa asas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Ke-13 (PRU-13) saja tidak boleh digunakan sebagai asas untuk kita memuktamadkan kerusi itu.

“Tentunya Pengerusi UMNO Selangor dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, sudah mengadakan perbincangan.

“Kami mengambil keputusan bahawa perbincangan harus diadakan antara BN dan PH, bukan oleh parti yang ada dalam komponen itu,” katanya

Mengulas mengenai mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini di Menara Datuk Onn, beliau berkata, beberapa kata sepakat mengenai PRN di enam negeri akan dicapai.

Katanya, ia termasuk kata sepakat mengenai penyusunan gerak kerja antara 19 parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

“Malam ini, kami mengadakan mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan yang mana 19 parti terbabit membincangkan isu mengenai pilihan raya di enam negeri.

“Beberapa kesepakatan terhadap pergerakan jentera dan beberapa penyusunan gerak kerja akan dibincangkan untuk dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang yakin gabungan itu dapat menawan Selangor pada PRN akan datang, Ahmad Zahid hanya mengucapkan selamat maju jaya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bekas Ahli Parlimen Gombak terbabit perlu mencermin diri kerana pernah berasa yakin menang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun tewas.

“Saya mengikuti kenyataan dikeluarkan pemimpin pembangkang di Selangor yang amat yakin memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 58 kerusi akan ditandingi dalam PRN akan datang.

“Saya hanya nak ucapkan selamat maju jaya kepada Azmin, pada PRU dulu pun beliau sangat yakin untuk menang di Gombak. Tentunya pada PRN Selangor nanti, beliau mempunyai keyakinan tinggi.

“Pada hemat saya, Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan pada peringkat Pusat dan bagaimana hubungan terjalin di Selangor, pasti menjadi satu ‘game changer’ yang akan diterjemahkan dalam pilihan raya ini,”

Loading...
Terkini