Tumpuan :
Politik

Agak aneh, PAS kini penyokong tegar Najib lebih daripada UMNO – AMANAH

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad. -FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan PAS kini menjadi penyokong tegar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbanding daripada UMNO sendiri.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, ia berdasarkan tindakan PAS yang meneruskan pendirian untuk mengadakan perhimpunan di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Sedangkan katanya, Istana Negara sendiri sudah mengeluarkan kenyataan selain polis melarang perhimpunan berkenaan.

“Malah UMNO sendiri akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, namun PAS masih terus mahu meneruskannya. Kita rasa situasi ini agak aneh.

“Hakikatnya, Najib dibicarakan dan dijatuhkan hukuman pada zaman (pentadbiran) Perikatan Nasional (PN) iaitu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama media malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, semua pihak seharusnya akur dengan arahan dan titah Yang di-Pertuan Agong dan tidak mencampuri urusan keadilan yang dilaksanakan agensi terbabit.

“Kita tidak boleh membuat protes setiap kali adanya perbicaraan dan tindakan itu mencampuri institusi penghakiman.

“Biarkan proses itu berjalan tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini