Tumpuan :
Politik

ADUN Rembia hadir program PN, UMNO akan ambil tindakan

Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: UMNO akan mengambil tindakan terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan yang didapati menyertai program anjuran Perikatan Nasional (PN) di Johor, semalam, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya akan terima laporan itu dan kita akan lakukan sesuatu,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan ADUN Rembia Muhammad Jailani Khamis yang hadir dalam Majlis Pengumuman Calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, semalam yang turut dihadiri Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bakri, Johor.

Terdahulu, Muhammad Jailani mempertahan tindakannya itu dengan menegaskan kehadiran beliau di majlis berkenaan bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO.

Memetik laporan The Star, Muhammad Jailani berkata kehadirannya itu bagi mewakili pihak badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa.

“Saya mewakili Annuar (di sini) kerana MN berpegang teguh dengan kepercayaan kepada perpaduan ummah.”

Kebetulan, semangat yang sama dikongsi oleh PN. Kami percaya perpaduan ini tidak mati dan kami tidak bermusuhan dengan mana-mana parti politik,” katanya.

Muhammad Jailani menyertai UMNO pada 2 Januari 2021 setelah sembilan bulan menjadi wakil rakyat bebas dan selepas keluar daripada PKR.

Loading...
Terkini