SIK: Shabudin Md Nor iaitu abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sanggup menolak tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar demi memastikan dia dapat mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) di sini, hari ini.
Shabudin, 57, tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya kira-kira jam 8.30 pagi tadi dan selesai membuang undi 15 minit kemudian.
Ketika ditemui, anak kedua daripada 13 beradik ini berkata 12 lagi adik beradiknya dan ibu bapanya akan turut mengundi di tempat yang sama.
“Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan, saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.
“Insya-Allah, selepas ini saya akan terbang ke negara lain. Saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia,” katanya.
Pada 10 Julai lalu tular sebuah banglo di Kampung Batu 8, di sini yang didakwa milik Muhammad Sanusi tetapi dinafikan beliau dengan menegaskan bahawa kediaman terbabit adalah milik abangnya yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.
Mengulas lanjut, Shabudin berkata dia tidak berasa tertekan dengan keadaan itu berikutan sudah biasa dengan alam pekerjaan yang menuntut komitmen dan kesabaran yang tinggi.
“Kerja saya pun sudah dalam keadaan tertekan, jadi saya sudah biasa dalam keadaan ini. Saya tak kisah dengan apa yang berlaku (banglo tular),” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md Nor Taib, 82, turut selesai mengundi pada jam 9.15 pagi tadi.
Dia yang berkerusi roda dibawa oleh adik kepada Shabudin iaitu Sobri, 54.
“Alhamdulillah, pakcik sudah selesai mengundi, sejak negara ada kan pilihan raya, pakcik tak pernah ‘ponteng’ mengundi,” katanya.
Pengundian bagi PRN ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya, daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 selepas menewaskan penyandangnya, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.
DUN Jeneri mempunyai 35,079 pengundi berdaftar dengan lebih 90 peratus adalah kaum Melayu.