Tumpuan :
Politik

Abaikan sahaja Tony Pua, ‘ekstremis’ politik DAP- Pengerusi BN Kedah

Oleh: Azib Zikry Abdul Halim

ALOR SETAR: Tindakan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua melabel Barisan Nasional (BN) sebagai ‘Pakatan Korup’ adalah sikap seorang ekstremis politik yang tidak berkepentingan.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Baginya tiada keperluan melayan golongan sedemikian yang bersifat ekstrem dan melampau, kerana ia sememangnya wujud dalam setiap organisasi.

Baginya Tony juga tidak ada jawatan dalam DAP walaupun namanya masih ada dalam parti itu, dan pandangannya tidak penting memandangkan DAP merupakan rakan gabungan kerajaan perpaduan bersama BN.

“Dalam mana-mana parti politik pun, ada kumpulan dipanggil pelampau atau ekstrem. Jenis pelampau ini, mereka akan anggap semua orang lain tak betul dan hanya dia sajalah yang terbaik.

“Golongan ini perangai mereka tak boleh diubah dan mereka takkan beri kebaikan sama ada kepada partinya sendiri mahu pun rakan kongsi,” katanya lagi.

Mahdzir yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pelampau politik seperti Tony Pua berkemungkinan mempunyai ‘masalah otak’ kerana menurut pengalamannya berunding bersama PH Kedah, tidak wujud mana-mana individu sebegitu.

“Saya fikir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pun tolak orang macam ini dan DAP pun tak boleh nak kawal disebabkan kumpulan ekstremis dalam parti seperti ini, susah nak berkawan dengan orang lain.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kedah di Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Terdahulu Tony Pua mengeluarkan kenyataan dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan ‘korup’.

Selain menyuarakan harapan supaya Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk kerajaan sendiri, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Namun, Setiausaha Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, menyangkal kenyataan rakan partinya itu selain menegaskan ucapan itu berunsur serangan terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan yang tidak sepatutnya dikeluarkan.

Loading...
Terkini