Tumpuan :
Politik

9 anggota polis Terengganu positif COVID-19 turut tunai tanggungjawab

Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Sembilan anggota polis Kontinjen Terengganu disahkan dijangkiti COVID-19 antara yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal hari ini bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, berkata, ia membabitkan enam angggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) Terengganu manakala dua di Kuala Terengganu dan seorang lagi di Kemaman.

Beliau berkata, semua yang dijangkiti COVID-19 itu berada dalam keadaan baik dan dinasihatkan untuk mengundi pada saat akhir bagi mengelak bertembung dengan pegawai dan anggota yang lain.

“Sebagaimana prosedur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditempatkan di kaunter bagi membolehkan mereka yang positif COVID-19 melaporkan keadaan kesihatan mereka sebelum meneruskan pengundian.

“Kita sudah menghubungi kesemua anggota berkenaan dan mengenal pasti saluran mereka dan kita menasihatkan mereka untuk mengundi di saat-saat akhir supaya tidak berlaku kesesakan kepada yang lain bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pusat pengundian awal di IPK Terengganu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Wan Rukman Wan Hassan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman.

Rohaimi berkata, seramai 7,025 polis dan tentera akan mengundi dengan 29 pusat mengundi dibuka membabitkan 35 saluran di seluruh di Terengganu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 1,403 orang terdiri daripada 1,369 pegawai dan anggota polis manakala selebihnya membabitkan pegawai dan anggota tentera akan membuang undi di IPK Terengganu.

“Di IPK, sebanyak lima saluran dibuka bagi melaksanakan proses berkenaan dengan dua daripada akan ditutup jam 12 tengah hari, satu saluran ditutup jam 1 tengah hari dan dua lagi akan ditutup jam 5 petang.

“Kita turut mengatur waktu mengundi dengan mereka yang bertugas pagi akan mengundi pada sebelah petang dan begitu sebaliknya, Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini