KUALA LUMPUR: Aset bersih terkumpul membabitkan 80 calon PKR yang bertanding peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini adalah melebihi RM354 juta, seperti yang disiarkan menerusi sesawang, calonkeadilan.org.
Bagaimanapun, ketika semakan dibuat, dokumen dalam format PDF untuk pengisytiharan harta milik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, belum dimuat naik.
Antara yang mengisytiharkan aset bersih paling banyak dalam senarai itu adalah calon PKR bagi Parlimen Tanah Merah iaitu Mohamad Suparadi Md Noor dengan harta berjumlah RM106.1 juta.
Beliau diikuti calon Parlimen Sungai Buloh iaitu Datuk R Ramanan berjumlah RM63.5 juta dan calon Parlimen Hulu Selangor iaitu Dr Sathia Prakash bernilai RM40 juta.
Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi laman web calonekadilan.org.
Berdasar semakan, Mohamad Suparadi memiliki aset kira-kira RM100 juta daripada pelaburannya dalam DNS Capital Sdn Bhd dan iLimo Stalite LTD, manakala kira-kira RM5.3 juta adalah berbentuk hartanah.
Rekod yang dikemukakan di laman web itu juga menunjukkan bahawa calon Parlimen Tanah Merah itu pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) dan Pengarah Eksekutif Iris Corp.
Bagi Ramanan pula, aset bersih bernilai RM63.5 juta itu turut merangkumi hartanah bernilai RM27 juta, bagaimanapun dokumen sokongan untuk Dr Sathia Prakash yang mempunyai rangkaian klinik perubatan, tidak disertakan dalam laman berkenaan.