KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lapan pemimpin UMNO sudah mengesahkan pencalonan hari ini untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden parti itu pada pemilihan parti itu bulan depan.
Hari ini saja, sekurang-kurangnya enam lagi pemimpin akan dan sudah pun mengemukakan pencalonan mereka bagi merebut jawatan nombor tiga tertinggi parti itu.
![](https://media.buletintv3.my/2023/02/F9SLCFwE-pp-cms-8.jpg)
Pagi tadi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pencalonannya diikuti seorang lagi Ahli MKT yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut menghantar borang pencalonan hari ini, bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad.
“Alhamdulillah, mengambil keberkatan hari Jumaat saya sudah menyerahkan borang pencalonan bagi Naib Presiden UMNO pada pemilihan kali ini,” kata Hasni di Facebook hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, juga dilaporkan menghantar borang pencalonannya bagi merebut jawatan itu hari ini, selain Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, pagi tadi.
Saingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO menjadi tumpuan pada pemilihan UMNO kali ini selepas dua jawatan utama, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.
BH difahamkan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga akan menghantar pencalonannya petang ini.
Sebelum ini, penyandang jawatan itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan masing-masing.
Selepas Khaled dan Mahdzir mengesahkan mempertahankan jawatan, kini hanya tinggal Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Perdana Menteri belum memutuskan sebarang pendirian mengenai kedudukan jawatannya.
Penentuan jawatan itu akan dibuat ketika mesyuarat perwakilan bahagian di seluruh negara yang akan berlangsung pada 18 Mac depan.
Hanya tiga individu yang memperoleh undi tertinggi daripada bahagian layak mengisi tiga tempat bagi jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023-2026 ini.-BERITA HARIAN