Oleh:Mohd Ishak Abdillah Ngah / Zamri Ghani
MARANG:Seramai 50 ahli PAS menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Mohamad Said.
Mereka antara 110 orang ahli Pas dari Kampung Sungai Serai dan Kampung Tok Muchong di Parlimen Marang yang mengumumkan keluar parti.
Menurut salah seorang daripada ahli PAS berkenaan, Muda Hassan, 75 tahun yang hampir 30 tahun bersama PAS menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin pas yang seolah olah mempermainkan agama seperti kenyataan mereka yang undi Barisan Nasiona (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.
“Tidak sokong PAS masuk neraka. Syurga neraka itu kerja Tuhan. Kalau di Mekah, Thailand, dan Indonesia, di sana tiada PAS. Jadi Orang Malaysia tidak boleh masuk syurgalah sebab tak sokong PAS”, ujarnya.
Sementara itu Datuk Seri Mohamad Said mengajak pengundi di Terengganu menolak PAS kerana sudah terbukti pemimpin PAS sanggup menggunakan agama untuk meraih undi.
“Ketua Pemuda PAS Kedah kata siapa undi BN dan PH masuk neraka. Saya kata orang ni hilang akal ke sebab syurga neraka bukan kerja kita itu kerja Allah. Ini ajaran sesat yang dibawa mereka dan terima kasih kepada ahli PAS yang mula sedar setelah sekian lama mereka diperdaya oleh pemimpim mereka yang menggunakan agama,”katanya.
Datuk Seri Mohd Said berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah mesra bersama pengundi DUN Pengkalan Berangan di Marang.
Dalam perkembangan lain, Naib Presiden PAS Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata isu berkenaan hanyalah kes terpencil sahaja dan tidak perlu diperbesarkan.
“Kalau setakat satu, itu kes terpencil dan individu tersebut telah meminta maaf dan saya rasa tidak wajar diperbesarkan,”katanya.
Sebelum ini , Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir telah memohon maaf susulan ucapannya yang memberi amaran pengundi “masuk api neraka” sekiranya memilih BN atau PH.