KOTA BHARU: Sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang mengangkat sumpah hari ini menyaksikan lima muka baharu dilantik termasuk seorang wanita.
Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini.
Sembilan EXCO berkenaan terdiri daripada Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman yang juga ADUN Kemahang, Datuk Dr Izani Husin (Kijang), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Selising) dan Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubor).Selain itu, Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Mohd Asri Mat Daud (Demit), Zamakhshari Mohamad (Apam Putra), Hilmi Abdullah (Guchil) dan Datuk Kamaruddin Md Noor (Ayer Lanas).
Lima daripada senarai itu adalah calon baharu iaitu Rohani, Mohd Asri, Zamakhshari, Hilmi dan Kamaruddin.
Pada masa yang sama, EXCO yang dilantik semula adalah Md Anizam, Dr Izani, Tuan Mohd Saripudin dan Wan Roslan.
Kamaruddin adalah wakil tunggal daripada BERSATU yang membarisi barisan EXCO dan Rohani pula wakil tunggal wanita.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, PAS memenangi 43 kerusi daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala dua dimenangi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).