Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: 8 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Sabah) iaitu lima dari UMNO dan tiga dari Parti Warisan Sabah (Warisan) seterusnya menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.
Tindakan itu diambil dan telah difikir semasak-masaknya mengenai hala tuju politik Sabah berdasarkan beberapa prinsip antaranya menginsafi bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi Sabah.
Mewakili kesemua mereka, perkara itu diumumkan ADUN Sindumin (UMNO), Datuk Dr. Yusof Yacob dalam satu sidang media khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Selain Datuk Yusof, empat lagi ADUN UMNO iaitu ADUN Sugut, Datuk James Ratib; ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasni Daya; ADUN Tampasuk, Datuk Arshad Bistari; dan ADUN Balung, Datuk Hamild Awang.
Manakala tiga ADUN Warisan yang keluar parti dan menjadi ADUN Bebas sebelum ini adalah ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin; ADUN Kunak, Azzlinah Ariff; dan ADUN Tanjung Kapor, Ben Chong Chen Bin.
Beberapa pemimpin serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) bahagian dari UMNO dan Warisan juga mengikut langkah sama antaranya Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna, Aziz Ibnu; Timbalan Ketua Bahagian Warisan Labuan, Russli Taman; Mantan penerangan UMNO Pusat, Jamawi Jaafar serta beberapa AJK bahagian Warisan.
ADUN Limbahau, yang juga Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Juil Nuatim pula menyokong kepimipinan Hajiji dan akan mengisytihar menyertai Gagasan Rakyat pada masa sesuai.
“Jadi inilah hala tuju kami yang akhirnya kita berharap dengan penyertaan rakan-rakan ini akan mengubah landskap politik Sabah seperti yang saya katakan tadi sebab-sebabnya kenapa dan kita berharap ke ahadapan ini Sabah mempunyai satu sistem yang stabil dan yang bersatu padu demi untuk rakyat Sabah”
“Dan selepas ini saya difahamkan akan ada lagi gerakan-gerakan ataupun mereka yang akan meneyertai akan keluar daripada kepompong lama mereka dan menyertai untuk bersama-sama kita tapi kita tidak sebutkan sekarang ia akan disusuli kemudian,” kata Datuk Yusof dalam sidang media khas itu.