Tumpuan :
Politik

PH mampu beri kejutan di Putrajaya – Rafizi

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berbual dengan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Putrajaya (P125), Dr Noraishah Mydin pada Majlis Makan Tengah Hari dan Pungutan Dana, di Putrajaya, hari ini. – Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin mampu memberi kejutan kepada calon lebih terkenal di Putrajaya seperti penyandang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Dr Radzi Jidin.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata ia berikutan kedudukan Putrajaya di Lembah Klang serta 100 peratus kawasan bandar diyakini turut dipengaruhi naratif kempen bersifat nasional yang dibawa PH.

Beliau berkata, berdasarkan pada pengalaman sebelum ini, faktor paling besar untuk mana-mana parti memenangi pilihan raya adalah naratif nasional, membabitkan olahan kandungan kempen serta tawaran yang diberikan kepada pengundi.

Justeru, beliau berkata, ia mengatasi soal lama mana seseorang calon sudah turun padang menyantuni pengundi.

“Ia agak berbeza berbanding kawasan luar bandar. Luar bandar memang betul, kalau tak turun awal, orang tak kenal. Calon kena pergi rumah ke rumah dan faktor masa itu memang ada kesan yang besar.

“Kalau luar bandar contohnya, pengundi nak wakil rakyat (bertindak) macam pegawai kebajikan, nak beranak pun cari wakil rakyat. Tetapi di bandar apatah lagi di Putrajaya ini yang 100 peratus bandar, keadaan tak sama.

“Mereka tengok kandungan kempen. Tengok pada media sosial,” katanya pada sidang media selepas berucap pada Majlis Makan Tengah Hari dan Pungutan Dana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon PH di Parlimen Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abd Aziz.

Berikutan itu, Rafizi, yang juga calon PH di Pandan berkata, biar pun jangka masa Noraishah berada di Putrajaya lebih singkat berbanding Tengku Adnan dan Radzi, ia diimbangi dengan daya tarikan kempen nasional yang kini meletakkan PH di hadapan.

Pada masa sama, Rafizi berkata, demografi penduduk Putrajaya tidak jauh berbeza dengan Lembah Klang, yang kini menyaksikan sokongan pengundi Melayu yang tinggi terhadap PH.

“Kalau dilihat sokongan pengundi di Lembah Klang, PH sudah berada di kedudukan hadapan dengan pengundi Melayu, apatah lagi (undi) bukan Melayu,” katanya.

Noraishah, satu-satunya calon orang kelainan upaya (OKU) berdepan dengan lima calon, termasuk dua calon Bebas, iaitu Tengku Adnan, Radzi, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), juga bekas pegawai kanan Kerajaan Persekutuan, Datuk Mohd Rosli Ramli, Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini