comscore
Tumpuan :
Politik

3 nama dicalonkan UMNO untuk PRK DUN Nenggiri

Foto hiasan

KOTA BHARU: UMNO Gua Musang menyenaraikan tiga nama untuk penilaian pimpinan parti sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos nanti.

Menurut laporan BH Online, antara yang disenaraikan ialah Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Manakala dua lagi ialah Ketua Penerangan UMNO Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Ketiga-tiga pilihan nama itu dikatakan diputuskan dalam mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang malam tadi, sebelum senarai dibawa pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan malam ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat malam ini.

“Saya dimaklum UMNO Gua Musang sudah bermesyuarat untuk menyenaraikan nama-nama calon PRK DUN Nenggiri.

“Saya merasakan senarai pendek itu sudah ada dan akan dibawa dalam mesyuarat malam ini. Semestinya kita akan memilih calon tempatan yang boleh berkhidmat kepada penduduk setempat,” katanya.

Jelasnya, senarai calon nanti akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk kelulusan.

“Kita tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan calon asalkan ia dipersetujui UMNO Gua Musang.

“Selain isu calon, mesyuarat malam ini juga akan membincangkan strategi kempen untuk PRK nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini