Tumpuan :
Politik

2 bekas MB Terengganu pertahan kerusi DUN

Datuk Seri Dr Ahmad Said (kanan) dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

KUALA TERENGGANU: Dua bekas Menteri Besar antara 26 calon Barisan Nasional (BN) Terengganu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Datuk Seri Dr Ahmad Said yang juga Pengerusi UMNO negeri akan bertanding mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, manakala Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus akan mempertahankan DUN Seberang Takir.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad menang dengan majoriti 1,265 undi, manakala Ahmad Razif dengan majoriti 1,884 undi.

Difahamkan, beberapa pemimpin parti di peringkat negeri yang pernah dipertaruhkan pada PRU14 akan dikekalkan nama mereka pada PRN kali ini.

Pengumuman 26 senarai calon BN akan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini. Difahamkan, enam lagi kerusi iaitu DUN Batu Burok, Tepoh dan Rhu Rendang akan ditandingi calon daripada AMANAH, manakala DUN Wakaf Mempelam, Manir dan Sura ditandingi calon PKR.

Difahamkan, semua calon kini berada di WTC untuk menandatangani borang ikrar.

Selain Ahmad dan Ahmad Razif, turut dikekalkan bertanding mempertahankan kerusi adalah Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat; Bendahari UMNO negeri, Datuk Sabri Mohd Noor serta Timbalan Setiausaha UMNO negeri, Bazlan Abd Rahman.

Rozi akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Telemong, Sabri (Langkap) dan Bazlan (Batu Rakit). Difahamkan, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof dijangka akan bertanding di DUN Kota Putera, manakala DUN Jertih ditandingi muka baharu.

Pada PRN nanti, Ahmad dijangka ditentang Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris.

Loading...
Terkini