Tumpuan :
Politik

Ahmad Zahid serahkan kepada SPR tentukan tarikh sesuai PRK Ayer Kuning

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh sesuai bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang dijangka diadakan ketika umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan.

Beliau yang merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid juga telah memaklumkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang juga Pengerusi BN Perak, untuk menghubungi SPR berhubung perkara itu.

“Pagi tadi, saya juga telah menghubungi Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) kerana saya tidak dapat bersama-sama dengan keluarga Allahyarham untuk menyampaikan simpati kami.

“Namun, saya telah memberitahu Menteri Besar agar menghubungi Pengerusi SPR bagi menentukan bilakah tarikh yang sesuai untuk SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan seterusnya hari pengundian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah kali ke-34 di Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mengadakan PRK terbabit memandangkan bulan Ramadan sudah terlalu hampir.

“Kami tidak merasa tergesa-gesa kerana bulan Ramadan semakin hampir. Tentunya, tarikh yang kami harapkan dipilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah satu tarikh yang sesuai dengan keadaan bulan Ramadan,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ishsam Shahruddin dan mengharapkan mereka bersabar menerima takdir atas pemergian Allahyarham.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Perak, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia selepas bermain bola sepak petang semalam.

Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, akibat serangan jantung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini