comscore
Tumpuan :
Politik

150,000 anggota Jalinan Rakyat Wanita UMNO di Perak giat kempen bantu calon BN

Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin ketika berkempen di Pekan Selasa, Kg Gajah. -Foto: Datuk DrWan Norashikin/Facebook

PASIR SALAK: Kira-kira 150,000 anggota Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO di Perak giat melaksanakan kempen di 24 kawasan Parlimen di negeri itu bagi membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Wanita UMNO Perak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata JR Wanita UMNO merupakan antara platform utama menyampaikan pelbagai maklumat kepada pengundi mengenai apa yang BN telah dan akan laksanakan untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau berkata selain kempen secara bersemuka, anggota JR turut menggunakan pendekatan dengan mendekati pengundi di sosial media seperti Facebook atau Tik Tok untuk menguar-uarkan apa yang BN mampu laksanakan sekiranya berjaya membentuk kerajaan semula.

“Kita beritahu pengundi supaya memilih parti yang boleh membentuk kerajaan dengan stabil kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti mana yang berlaku pada PRU14 (negara) mempunyai kerajaan yang tidak stabil dan akhirnya ia merugikan rakyat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Norashikin berkata JR Wanita UMNO sentiasa dekat dengan rakyat bukan pada musim pilihan raya sahaja tetapi sering mendampingi dan menghulurkan bantuan kepada rakyat yang ditimpa musibah atau bencana tanpa mengira kaum dan agama.-BERNAMA

Loading...
Terkini