Oleh Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Seramai 14,674 orang pengundi awal berdaftar melibatkan anggota keselamatan iaitu Polis dan Tentera serta pasangan di negeri Kedah akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.
Proses pengundian bermula di kesemua Ibu Pejabat Polis dan kem tentera di negeri itu seawal jam 8 pagi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini pada jam 9.10 pagi.
Beliau yang berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian, berharap kesemua 6,041 anggota polis dan pasangan yang disenaraikan di negeri Kedah akan menjalankan tanggungjawab mereka.
“Daripada jumlah ini 5,900 adalah anggota dan pegawai polis manakala 141 orang adalah pasangan kepada anggota dan pegawai daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim,” katanya.
“Undi pos turut dijalankan bermula 5 hingga 19 Nov dengan melibatkan 1,321 anggota polis dengan 843 orang diurus oleh pihak PDRM manakala selebihnya diuruskan oleh pihak Pos Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Untuk rekod, sejumlah 20 pusat mengundi dikhususkan kepada pegawai dan anggota polis.
Manakala, seramai 8,633 orang anggota dan pegawai tentera mengundi di 5 pusat mengundi di kem tentera.