comscore
Tumpuan :
Politik

1,138 warga IPD Kota Kinabalu tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal

KOTA KINABALU: Seramai 1,138 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, hari ini.

Proses pengundian awal yang bermula jam 8 pagi itu membabitkan pasukan keselamatan di empat kawasan parlimen iaitu Kota Kinabalu, Sepanggar, Putatan dan Penampang.

Manakala balai yang terbabit sebagai pusat mengundi adalah Balai Polis (BP) Kota Kinabalu, BP Tanjung Aru, BP Karambunai, BP Inanam, BP Manggatal, BP Sepanggar dan BP Pulau Gaya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, bagi memastikan kelancaran, pihaknya mengerah 50 anggota dan pegawai di seluruh pusat mengundi.

Katanya, selain menjaga keselamatan, ia juga bagi memastikan kelancaran lalu lintas selain memudahkan pengundi awal menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Jumlah keseluruhan pengundi awal di empat kawasan parlimen ini adalah 3,694 membabitkan warga polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan akar wataniah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuang undi di IPD Kota Kinabalu.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan hari pengundi pada 19 November ini, Mohd Zaidi berkata, 67 pegawai dan anggota trafik, unit kereta peronda (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) akan bertugas.

Katanya, semua kekuatan keanggotaan ini akan ditugaskan di 76 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekitar.

“Berdasarkan kepada kesediaan pasukan polis, ia memberi keyakinan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tugas dengan teliti.

“Ini juga bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan proses pengundian berjalan lancar,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini