Tumpuan :
Politik

10 lagi Ahli Parlimen Bersatu sokong PMX – Syed Abu Hussin

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal mengadakan sidang media khas di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. – Foto: NSTP

PUCHONG: Sepuluh lagi ahli parlimen pembangkang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mendedahkan demikian, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata ia membabitkan lima ahli parlimen dari kawasan utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta tiga dari kawasan timur iaitu masing-masing Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Selain itu, katanya kawasan tengah pula membabitkan seorang ahli parlimen dari Melaka dan dua lagi ahli parlimen dari Selangor.

Sebelum ini sudah enam ahli parlimen pembangkang mengumumkan menyokong Anwar termasuk daripada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi semalam.

“Saya sebut kawasan (wilayah) tetapi tak sebut nama kawasan. Berikan kebebasan kepada ahli parlimen ini bila dia nak beri sokongan. Mereka sedang berfikir, dijangka (menyatakan sokongan kepada PMX) menjelang sesi Parlimen, 28 Februari ini,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyeru supaya semua ahli parlimen Bersatu memberikan sokongan kepada Anwar buat masa ini supaya fokus ditumpukan kepada membantu Perdana Menteri membangunkan negara dan pada masa sama setiap ahli parlimen melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab.

Beliau juga menyeru supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid turut menyatakan sokongan kepada Anwar.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Abu Hussin menjangkakan PAS akan membuat gabungan dengan parti berlainan dan Bersatu tidak lagi akan bersama parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-16.

“PAS selalunya akan membuat keputusan berlainan dalam setiap PRU. Ini memang sejarah PAS buat gabungan dengan parti berlainan (dalam PRU).”

“PAS tidak akan bergabung dengan Bersatu dalam PRU akan datang. Bersatu kena bersedia, maka ahli Bersatu digalakkan secara berkelompok menyatakan sokongan kepada PMX.”

“Numbers (angka ahli parlimen) dalam kerajaan dah cukup mantap, 152 kan, macam mana nak tebuk lagi,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, Syed Abu Hussin mendakwa ada tujuh atau lapan lagi ahli parlimen PN bakal menyatakan sokongan kepada Anwar, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti mereka, sama ada daripada PAS atau Bersatu.

Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri ialah Syed Abu Hussin, Zulkafperi, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Loading...
Terkini