Tumpuan :
Politik

‘UMNO, PAS Perlu Segera Kembali ke Meja Rundingan’

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS perlu kembali ke meja rundingan dengan segera bagi mewujudkan ‘khemah besar’ kepada Melayu serta Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Saranan itu disuarakan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, yang menyifatkan kerjasama antara kedua-dua parti itu penting untuk mengelakkan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

“Jangan lagi pisang berbuah dua kali, biarlah putih tulang jangan putih mata, segala-galanya rosak binasa. Dengarlah suara kami akar umbi supaya bangsa ini dan rakyat berbilang kaum dapat hidup aman harmoni dengan dipimpin oleh Muafakat Nasional (MN).

“Saya akui di beberapa negeri, amat sukar PAS dan UMNO untuk bekerjasama namun demi agama, demi bangsa Melayu dan kesejahteraan bangsa lain, saya merayu ketepikanlah kesombongan, kembalilah kepada kesepakatan, berkongsilah kuasa demi kebaikan ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengingatkan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada PRU15.

Bagaimanapun, kenyataan itu dilihat bercanggah dengan pendirian PAS yang menjelaskan musuh parti itu dalam PRU15 adalah PH, bukannya UMNO.

Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Selasa lalu bagi membincangkan isu MN selain mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.

Difahamkan, hasil perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu akam dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Muqharabbin berkata, cetusan idea khemah besar yang asal adalah MN, bukan PN.

Justeru, beliau yakin dengan segala perancangan kepemimpinan parti.

“Buatlah yang terbaik, berbincanglah elok-elok supaya PH yang merosakkan ekonomi negara, yang menganiaya rakyat dengan janji palsu, yang meruntuhkan keharmonian rakyat, yang menipu manifesto, yang menghasut rakyat, tidak kembali berkuasa semula.

“Saya merayu supaya jangan sesekali ini berlaku lagi. Rakyat akan sengsara lagi-lagi ekonomi dunia dijangka akan mengalami kemelesetan tahun depan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai menegaskan, di kawasannya, UMNO dan PAS sentiasa memberikan fokus kepada membantu rakyat dengan tidak ada perbalahan.

“Sekiranya kami di sini bergabung, saya yakin sepenuhnya, Parlimen Lembah Pantai, BN dan PAS dalam MN akan diberikan mandat untuk kembali memimpin dan membawa landskap perubahan yang lebih baik untuk rakyat kawasan ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini