MELAKA: Hari Malaysia yang turut disambut di Sabah dan Sarawak, Jumaat ini tidak menjejaskan kemeriahan sambutan peringkat kebangsaan di Melaka.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak menghalang, sebaliknya menggalakkan dua negeri terbabit untuk menganjurkan acara sambutan Hari Malaysia di negeri masing-masing, 16 September ini.
“Sebenarnya di Sabah dan Sarawak juga ada sambutan (Hari Malaysia), sebab itu Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri masing-masing tidak hadir ke Melaka Jumaat ini.
“Kita galakkan mereka untuk membuat acara sambutan di negeri masing-masing yang sudah pasti menjadi acara tradisi mereka sejak beberapa tahun lalu.
“Tahun ini kita anjurkan di Melaka dan Insya Allah selepas ini (tahun hadapan) kita kembali ke Sabah atau Sarawak semula,” katanya selepas meninjau raptai Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohamad Mentek.
Sejak empat tahun lalu, Sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di Sabah dan Sarawak dengan kali terakhir diadakan di Miri, tahun lalu.
Namun, tahun ini Kementerian Komunikasi dan Multimedia selaku kementerian pelaksana program memilih Banda Hilir di Melaka yang pernah menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956, sebagai tuan rumah.
Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan, berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan persiapan acara terbabit.
Bagaimanapun, katanya, beberapa penambahbaikan kecil akan dilakukan bagi memantapkan lagi pelbagai persembahan pada malam terbabit.
“Saya puas hati dengan persiapan dan saya fikir idea yang diberikan oleh pihak tuan rumah (Melaka) satu idea yang unik dan menarik, satu konsep yang boleh dijadikan kenangan selepas sambutan ini.
“Sesungguhnya sambutan di Melaka ini adalah satu perayaan Hari Malaysia yang mempunyai keunikan tersendiri dan teristimewa, sesuai dengan konsep Melaka sebagai bandar pelancongan,” katanya. – BERITA HARIAN