KUALA LUMPUR: Peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramalkan berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan dijangka akan menyebabkan cuaca pada sebelah pagi hujan di pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, secara amnya semasa MTL tidak hanya menyebabkan hujan di sebelah pagi, malah pada sebelah petang, ribut petir atau hujan lebat di kawasan Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, pedalaman Sarawak serta Barat Sabah akan berlaku.
Katanya, jika berlaku luruan monsun pula, hujan lebat berterusan akan berlaku dalam tempoh beberapa hari terutama di kawasan pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
“Namun begitu, sekiranya berlaku luruan monsun yang kuat bersekali dengan kewujudan sistem cuaca tekanan rendah, hujan berterusan berpotensi berlaku dalam kawasan yang lebih luas sehingga ke negeri-negeri pantai barat Semenanjung.
“Bagaimanapun, mengenai taburan hujan ia berbeza mengikut kawasan. Namun demikian, taburan hujan di kebanyakan kawasan juga dijangka pada paras purata sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Selain itu, menurutnya, terlalu awal untuk meramal akan berlaku hujan yang sangat lebat yang boleh mengakibatkan banjir besar.
Beliau berkata, lazimnya Disember adalah tempoh yang mana luruan monsun menjadi aktif, potensi untuk berlaku hujan lebat berterusan adalah tinggi ketika ini terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
“Namun begitu, kejadian hujan lebat berterusan hanya dapat diramal dalam tempoh satu hingga tiga hari sebelum ia berlaku.
“Secara keseluruhan, cuaca Malaysia masih dalam Monsun Barat Daya (MBD). MBD tahun ini adalah sedikit lebih lembap daripada biasa kerana faktor La Nina.
“Justeru, orang awam terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan yang berisiko, dinasihatkan untuk lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Orang ramai disarankan untuk sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui pelbagai medium iaitu laman web rasmi Jabatan (www.met.gov.my), aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia Orang ramai boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. -HARIAN METRO