comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kabinet Ada Bincang Tarikh

Foto: NST

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) antara topik yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dengan tumpuan diberikan kepada persediaan menghadapi banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut kerana mendakwa perkara berkaitan pembubaran parlimen dan pilihan raya adalah bidang kuasa Perdana Menteri.

“Perbincangan itu ada, membabitkan macam-macam isu, kita bincang dengan panjang lebar mengenai persiapan menghadapi banjir untuk bulan-bulan akan datang, Oktober, November dan Disember,” katanya kepada BH.

Isnin lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau dilaporkan berkata, akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila tarikh PRU-15 patut diadakan.

Perdana Menteri sebelum ini diasak pelbagai pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 dijalankan selepas dua kali perubahan Kerajaan berlaku sejak PRU sebelum ini yang menyaksikan tiada parti politik memperoleh kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat.

Sabtu lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan tahun ini.

Beliau yang juga Presiden Umno menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

Pas pula menyatakan kekal dengan pendiriannya sebelum ini bahawa PRU-15 tidak sesuai diadakan pada tahun ini.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, pandangan itu sudah disuarakan sejak sekian lama dan akan diulangi dalam mesyuarat Kabinet, jika perkara itu kembali berbangkit.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba tidak memberikan jawapan yang jelas berhubung perkara itu namun menyatakan Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan mesyuarat itu. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini