comscore
Tumpuan :
Nasional

PM Lancar Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030

Pelancaran PPMJ 2030 diadakan di luar sesi sidang DUN Johor sempena pembentangan Belanjawan 2021 negeri Johor. Foto: Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030, di ruang legar Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor.

PPMJ 2030 adalah rujukan induk bagi tujuan perancangan pembangunan Johor membabitkan sektor ekonomi dan sosial.

Perancangan mengambil kira situasi pembangunan, kelebihan Johor sebagai lokasi strategik dengan kekuatan sumber ekonomi sedia ada.

Lapan teras menjadi dasar PPMJ 2030 termasuk pemerkasaan ekonomi, pelaburan dan ekonomi digital, penyediaan jaringan sistem pengangkutan dan infrastuktur, kelestarian alam sekitar, memperkasa sistem pendidikan Islam, modal insan dan warisan budaya serta pesona wanita dan aspirasi anak muda.

Turut hadir pada pelancaran buku itu ialah Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, Speaker DUN Johor, Suhaizat Kaiat serta sebahagian besar ADUN.

Program itu diadakan di luar sesi sidang DUN Johor sempena pembentangan Belanjawan 2021 negeri Johor.

Sementara itu, semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 negeri Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata PPMJ 2030 merupakan pelan hala tuju yang dijangka dapat memacu pembangunan Johor secara progresif dan dinamik dengan berpaksikan visi Negeri Berprestasi Tinggi dan Bangsa Johor Bestari.

“Saya yakin suatu anjakan paradigma mampu dilakukan dalam mencorakkan masa depan Johor yang gemilang bagi tempoh sedekad akan datang untuk menjadikan Johor sebagai negeri berprestasi tinggi dan ini cukup serasi dengan gagasan yang kita bawa iaitu Makmur Johor,” katanya sebelum pelancaran buku berkenaan.

Loading...
Terkini