Tumpuan :
Dunia

Penyakit Berjangkit Merebak Di Wilayah Banjir Di Pakistan

Foto: Reuters

KARACHI: Lebih 90,000 orang dirawat kerana penyakit berjangkit dan bawaan air dalam sehari di kawasan yang dilanda banjir di selatan Pakistan, ketika data kerajaan hari ini menunjukkan kematian akibat banjir melebihi 1,500 orang.

Menurut laporan daripada kerajaan Sindh yang dikeluarkan hari ini, kawasan yang dilanda banjir kini dijangkiti penyakit malaria, demam denggi, cirit-birit dan masalah kulit.

Kelmarin, ia juga mengesahkan sebanyak 588 kes malaria dengan 10,604 lagi kes yang disyaki, malah 17,977 kes cirit-birit dan 20,064 penyakit kulit.

Sejumlah 2.3 juta pesakit sudah dirawat sejak 1 Julai lalu di lapangan dan hospital bergerak yang didirikan di wilayah banjir.

Rekod hujan monsun di selatan dan barat daya Pakistan serta pencairan glasier di bahagian utara mencetuskan banjir yang telah menjejaskan hampir 33 juta orang di negara Asia Selatan yang berpenduduk 220 juta itu.

Ia memusnahkan rumah, tanaman, jambatan, jalan raya dan ternakan dengan kerugian yang dianggarkan AS$30 bilion (RM136 bilion).

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara juga melaporkan sebanyak 1,508 kematian termasuk membabitkan 536 kanak-kanak dan 308 wanita.

Ratusan ribu orang kini kehilangan tempat tinggal dan amat memerlukan sokongan dari segi makanan, tempat tinggal, air minuman bersih, tandas dan ubat-ubatan.

Ramai yang terpaksa tidur di tempat terbuka di tepi lebuh raya bertingkat.

Saintis semalam berkata, musim tengkujuh menenggelamkan kawasan besar di Pakistan berkemungkinan berlaku dalam tempoh seratus tahun tetapi mungkin lebih kuat akibat perubahan iklim.-REUTERS

Loading...
Terkini