Tumpuan :
Kemalangan

Pekerja Kilang Nyaris Maut, Bas Terbabas ke Tebing

ALOR GAJAH: Seramai 14 pekerja kilang termasuk pemandu bas cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas ke dalam tebing sedalam 50 meter di Jalan Simpang Gading/Kesang Pajak, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, berlaku ketika bas kilang terbabit yang membawa 37 penumpang ingin menghantar kesemua pekerja kilang itu pulang ke asrama berdekatan lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.57 malam sebelum tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, BBP Jasin Bestari dan BBP Alor Gajah bergegas ke lokasi kejadian bersama 27 anggota termasuk pegawai.

Menurutnya, bas yang membawa pekerja kilang warga asing dari Ayer Keroh menggelungsur ke bawah tebing ketika menghampiri kawasan asrama.

“Kesemua mangsa termasuk pemandu bas berusia 40-an dibawa ke keluar dengan bantuan orang awam melalui tingkap dan dilaporkan penumpang termasuk pemandu hanya mengalami kecederaan, tiada kehilangan nyawa.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jasin bagi menerima rawatan manakala penumpang lain yang hanya mengalami cedera ringan dirawat di klinik berdekatan,” katanya pada sidang media, malam ini.

Menurutnya, punca awal kejadian dipercayai berlaku apabila sistem brek bas terbabit gagal berfungsi menyebabkan kenderaan terbabit menggelungsur kira-kira 150 meter ke tebing dan tersangkut pada pokok.

“Bagaimanapun siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira 45 minit dan bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini anggota bomba sudah menanggalkan bateri bas terbabit,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini