comscore
Tumpuan :
Hiburan

‘Malbatt Misi Bakara’ Filem Termahal, Sediakan Kelengkapan Ketenteraan

Adrian Teh (tengah) bersama barisan pelakon filem Malbatt Misi Bakara.

KUALA LUMPUR: Dengan bajet RM20 juta, filem terbitan Berjaya Pictures, Malbatt Misi Bakara yang bakal menemui penonton di pawagam tahun hadapan, menjadi antara filem paling mahal pernah dihasilkan di Malaysia.

Filem Malbatt Misi Bakara berkisar kisah benar di sebalik insiden Black Hawk Down yang menyaksikan tindakan berani mati anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada 1993.

Selama ini, peminat disajikan dengan versi Hollywood melalui filem Black Hawk Down arahan Ridley Scott pada 2001 yang memaparkan pertempuran membabitkan tentera AS di Somalia.

Melalu filem itu, hanya sekali istilah ‘Malay Army’ disebut, iaitu ketika tentera AS memohon bantuan anggota Malbatt 1 untuk menyelamatkan anggota US Rangers dengan plot tidak dikembangkan.

Pengarah filem itu, Adrian Teh memberitahu, 70 peratus daripada kos pembikinan naskhah itu diperuntukkan bagi menampung kos lapangan seperti membina kelengkapan ketenteraan.

“Untuk filem ini, kami terpaksa menempah semula pakaian seragam yang digunakan anggota batalion yang menelan belanja ratusan ribu ringgit.

“Kita juga membina semula set dan kelengkapan ketenteraan.

“Peningkatan kos juga disebabkan kami menggunakan khidmat pelakon berpengalaman dan menjalani penggambaran di luar negara iaitu di selatan Turkiye,” katanya pada sidang media dan pelancaran filem Malbatt Misi Bakara di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Adrian mengaku dengan kos setinggi itu, ia memberi tekanan kepadanya dalam menggarap Malbatt Misi Bakara. Apatah lagi, penerbit dan pelabur filem itu, tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan meletakkan harapan tinggi terhadap filem itu.

“Walaupun beliau bergurau apabila mengharapkan filem ini mendapat keuntungan, ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya.

“Saya tidak berani menjanjikan apa-apa kerana filem ini masih dalam peringkat pascaproduksi.

“Namun, saya yakin filem ini mampu menarik minat penonton untuk menyaksikannya.” katanya yang sebelum ini menghasilkan filem PASKAL.

Filem Malbatt Misi Bakara menampilkan lakonan hebat Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi dan Fauzi Nawawi.

Seramai 114 anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 terbabit dalam misi pengaman di Somalia pada 1992 hingga 1995.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini