BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merancang membina dua kompleks kilang memproses isi ikan bagi memenuhi keperluan pasaran industri hiliran berasaskan ikan, khususnya pembuatan keropok selain antara kaedah menangani manipulasi orang tengah.
Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, bagi tujuan itu, sebuah kilang memproses isi ikan di Kuala Besut, Terengganu masih dalam proses pembinaan yang dijangka siap Oktober ini dan boleh beroperasi seawal tahun depan manakala sebuah lagi masih dalam proses mengenal pasti tapak bersesuaian yang akan dibina di Sungai Tinggi di sini.
Katanya, kedua-dua kilang terbabit masing-masing berupaya menampung kapasiti keseluruhan simpanan dalam bilik sejuk beku iaitu kira-kira 500 tan metrik dengan kapasiti memproses isi ikan 10 tan metrik sehari.
Menurutnya, setakat ini, tiada kilang isi ikan di bawah penyeliaan LKIM sebaliknya yang sedia wujud adalah secara kecil-kecilan yang diusahakan individu serta swasta.
Beliau berkata, pasaran isi ikan sangat luas dan diperlukan oleh industri keropok.
“Permintaan isi ikan dari negeri di pantai timur akan meningkat yang mana strateginya adalah membeli ikan dari nelayan ketika harga pasaran ikan murah untuk diproses menjadi isi ikan.
“Ia seterusnya disimpan dan dijual ketika harga ikan tinggi yang mana sekali gus ia akan dapat mengurangkan peranan orang tengah dalam memanipulasi harga.
“Bila LKIM dan agensi kerajaan melantik syarikat yang diberikan peranan untuk membeli dan menjadikan ia isi ikan, dia (syarikat) akan buat stok dan semua ikan yang didaratkan, kita boleh beli serta harga akan terkawal kerana tidak membabitkan org tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada program Majlis Sambutan Hari Malaysia dan Penyerahan Bantuan Tong Ikan Berinsulasi kepada nelayan di Jeti Sungai Kerang, Trong di sini, hari ini.
Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi, pendaratan ikan yang paling banyak berhampiran penempatan nelayan di Sungai Tinggi dikenal pasti di Bagan Panchor, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pantai Remis di Parlimen Beruas.
Namun, pembinaan kilang isi ikan itu akan dilaksanakan dalam kawasan Dun Trong.
“Di Bagan Panchor ada (kawasan) pendaratan ikan yang banyak tetapi saya nak buat kilang itu di Sungai Tinggi dengan kapasiti memproses isi ikan 10 tan sehari membabitkan peruntukan pembinaannya lebih RM5 juta,” katanya.
Katanya lagi, daripada sudut strategi, ia bagaimanapun bergantung kepada kemampuan LKIM membeli ikan dari nelayan secara konsisten antara 10 hingga 20 tan metrik sehari bagi menyaingi kawalan harga ikan oleh orang tengah.
“Ikan yang kita beli tadi, sudah tentu kita nak jual semula tetapi tak semua ikan kita boleh jual khususnya ikan kecil yang tak boleh dimakan.
“Jadi kita jadikan ikan kecil itu sebagai isi ikan untuk digunakan oleh industri keropok yang besar. Memandangkan daripada 10 tan ikan yang kita akan dapat, (biasanya) akan dapat lima tan isi ikan,” katanya.-HARIAN METRO