Tumpuan :
Tragedi

Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan maut di bawah tiang elektrik di Jalan Cemetry Reserve berhampiran Taman Flamingo, Manggatal, di sini, semalam dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Mayat mangsa berusia lingkungan 30 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum membuat laporan polis, kira-kira jam 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat lelaki yang ditemui berada dalam keadaan terbaring di tepi tiang elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, pihak SESB dimaklumkan dan tiba di tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi memastikan keadaan selamat sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Berdasarkan keadaan mayat dipercayai kematian berlaku lebih 24 jam. Hasil pemeriksaan awal pada mayat itu disyaki maut akibat terkena renjatan elektrik.

“Mayat dalam keadaan terbaring di bawah tiang elektrik milik SESB,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan tubuh mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Tiada sebarang kecederaan untuk dikaitkan dengan jenayah setakat ini.
“Mayat lelaki terbabit dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, bagi proses bedah siasat,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi operasi mengeluarkan mayat mangsa.—BERITA HARIAN

Loading...
Terkini