Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Lulus Perolehan Aset, Pembangunan Projek Bomba RM291.4 Juta

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan meluluskan perolehan aset jentera dan pembangunan projek bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM291.4 juta.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perolehan itu adalah bukti kesungguhan dan iltizam kerajaan bagi memperkasa dan memperkukuhkan aset serta kemudahan JBPM.

“Kelulusan Perbendaharaan itu membabitkan enam unit Fire and Rescue Boat (FRB) bernilai RM15.5 juta, lima unit Urban Search and Rescue (USAR) bernilai RM7.5 juta dan 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) bernilai RM145.8 juta.

“Perolehan bagi pembangunan projek Command, Control, Communications, Computers and Intelligent (C4iFRDM), bagi mempertingkatkan lagi sistem komunikasi kecemasan JBPM dengan kelengkapan teknologi maklumat terkini dan sistematik bernilai RM49 juta di ibu kota,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2021) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Reezal berkata, selain itu turut diluluskan peruntukan hampir RM40 juta untuk pembangunan Fasa 3 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu.

“Ia meliputi pembangunan kemudahan latihan seperti pembinaan Simulator Swift Water Training, Water Rescue Training Complex, Highway Emergency and Traffic Accident Rescue dan Industrial Fire Fighting Simulator.

“Kerajaan juga sudah meluluskan permohonan bagi projek Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Bomba di Subang bernilai RM33.6 juta, merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, hangar, stor logistik, bengkel kejuruteraan, heliport, stesen bahan api pesawat dan lain kemudahan,” katanya.

Beliau berkata, penambahan aset dan projek itu selaras dengan komitmen KPKT untuk memperkukuhkan lagi khidmat kebombaan dan penyelamatan Wira Merah supaya setanding dengan keupayaan negara maju.

“Ini memperlihatkan bahawa fungsi JBPM amat penting dengan negara kerap dilanda dengan musibah dan fenomena alam seperti banjir selain insiden kemalangan serta kebakaran.

“Atas sebab itu bomba perlu dipertingkat dari segi kemahiran dan keupayaan serta pengenalan aset berteknologi tinggi.

“Ini antara agenda yang saya ketengahkan dan perbelanjaan yang sudah diluluskan untuk perolehan tahun ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk mempertingkatkan keupayaan itu,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai persiapan bomba menghadapi banjir, beliau memaklumkan akan mengadakan lawatan ke pusat operasi Monsun Timur Laut (MTL) Khamis ini.

“Di situ saya akan beri taklimat bagaimana pergerakan aset yang telah pun dihantar.Kita sudah buat pemetaan berdasarkan maklumat ramalan cuaca diberi Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

“Perdana Menteri juga sudah mengarahkan pusat pengurusan bencana dibuka lebih awal dan prosedur operasi standard (SOP) menghadapi banjir disedia lebih awal,”katanya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini