Oleh Fazli Ahmad
KUANTAN: Bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Malaysia, 51 ahli Kelab Basikal Kasik Pahang menyertai program kayuhan basikal klasik mengelilingi Bandaraya Kuantan hari ini.
Program santai itu dianjurkan bagi memeriahkan tarikh bersejarah tanah air serta tanda menzahirkan rasa cinta kepada negara, selain mengimbau kenangan menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama suatu ketika dahulu.
Peserta yang hadir menggunakan pelbagai jenis basikal lama dikeluarkan antara tahun 1940 dan 1960 termasuk basikal klasik jenama Hercules dan Raleigh.
Kayuhan bermula di Taman Kerang dan mengelilingi sekitar bandar Kuantan, bermula jam lapan pagi tadi membabitkan jarak sejauh lebih 10 kilometer.
Peserta turut singgah di beberapa lokasi bersejarah termasuk Rumah Datuk Wong Ah Jan, Rumah Klasik Kuantan serta melalui kawasan premis lama mempunyai nilai sejarah di bandar itu.
Ahli Jawatankuasa kelab, Faizal Izwa Nawi berkata, program ini dianjurkan untuk menceriakan sambutan Hari Malaysia dan memupuk kesedaran masyarakat untuk menghargai sejarah negara.
“Semua lokasi persinggahan peserta program ada nilai sejarah dan warisan tetapi mungkin tidak diketahui umum,” katanya
Acara itu pertama kali dianjurkan dan mereka bercadang menganjurkan program sama setiap tahun dengan menyelit lebih banyak program sampingan sepanjang kayuhan dalam usaha menyemai semangat semangat patriotisme dikalangan masyarakat.