comscore
Tumpuan :
Politik

PRU15: Jentera BN Sudah Sedia

KUALA LUMPUR: Tahap kesiapsiagaan jentera Barisan Nasional (BN) kini berada dalam keadaan yang amat baik dan sudah bersiap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada bila-bila masa.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keyakinan itu berdasarkan pemerhatian dalam siri jelajah meninjau persiapan jentera pilihan raya parti di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding mengenai tarikh pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Selaku Pengarah Pilihan Raya parti, kita menjelajah ke seluruh negara dan kita lihat ketua bahagian dan negeri berada dalam tahap kesiapsiagaan yang amat baik dan sudah bersiap sedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Ahmad Zahid itu turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihaknya juga sedang menyediakan rumusan akhir strategik setiap bahagian untuk menghadapi pilihan raya.

Ini kerana, beliau yakin rumusan itu akan menjadi panduan gerak kerja parti pada PRU-15 kelak.

“Setiap bahagian dan negeri yang saya pergi menyatakan mereka sudah tidak sabar untuk diadakan pilihan raya.

“Biarkan dua tokoh kita iaitu Perdana Menteri dan Pengerusi BN bincang mengenai tarikh yang mereka rasa sesuai untuk pilihan raya. Tugas kita sebagai jentera parti tumpukan usaha memastikan kemenangan dalam PRU-15,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini