IPOH: Isteri juruterbang yang maut dalam nahas helikopter di Hutan Simpan Chikus, di Bidor, Ahad lalu, masih berada di luar negara dan dijangka tiba ke Malaysia dalam masa terdekat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, dalam satu kenyataan berkata, bedah siasat ke atas mangsa juga dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada jam 9 pagi tadi.
“PDRM Perak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.
Mohd Yusri berkata, pihak polis juga sudah mengaturkan kawalan rapi di tempat kejadian nahas sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Bahagian Forensik PDRM, yang bermula hari ini.
“Helikopter berkenaan kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan seterusnya.
“PDRM Perak mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan seluruh agensi dan sukarelawan yang terbabit dalam menjayakan operasi menyelamat dan mengesan mangsa nahas terbabit,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mohd Yusri dilaporkan berkata, mangsa warga Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan, 58, dipercayai meninggal dunia di lokasi nahas.
Juruterbang itu dan helikopter jenis Eurocopter dipandunya dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari, Ahad lalu.
Helikopter syarikat swasta itu yang terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari.
Bagaimanapun, ia dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.- BERITA HARIAN