AMPANG JAYA: Lelaki warga India dan seorang wanita maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka melanggar belakang lori kontena yang diparkir di bahu jalan di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, di sini, pagi ini.
Mangsa yang maut adalah Venkatachalm berusia 33 tahun dan wanita tempatan, M Thevamalar, 42.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.04 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
Menurutnya, 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Laporan awal kemalangan membabitkan kereta perodua Myvi dinaiki mangsa melanggar belakang lori kontena terbabit.
“Mangsa tersepit di ruang hadapan kereta di mana mereka mengalami kecederaan parah dibawa keluar bomba pada jam 3.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – BERITA HARIAN