SEREMBAN: “Serpihan peluru yang tertanam dalam badan ini adalah bukti saya berjuang mempertahankan negara walaupun sedar nyawa menjadi taruhan,” kata bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Zakaria Sabtu, 75.
Berkongsi kisah sepanjang bertugas dalam unit elit PDRM itu, Zakaria mendedahkan dia mengalami kecederaan di beberapa bahagian pada tubuh badannya dalam siri operasi termasuk menumpaskan Raja Lanun pada 1978.
Katanya, beliau terbabit dalam operasi bagi membantu Polis Perak memburu Raja Lanun yang bergiat aktif menjadi lanun di perairan negeri berkenaan selama 20 tahun.
“Saya terbabit dalam satu operasi rahsia membabitkan dua pasukan kecil menggunakan senjata jenis sniper bagi menjejaki Raja Lanun di sebuah pulau selama 10 hari sebelum berjaya mengesannya yang menaiki bot laju pada 1 Mei 1978.
“Saya berjaya mengesan Raja Lanun yang melarikan diri dalam hutan kayu bakau di pulau berkenaan sebelum terserempak dengannya yang bersembunyi di bawah tebing,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, ketika kejadian tembak-menembak dengan Raja Lanun yang melepaskan tembakan bertubi-tubi lebih 30 das, senapang digunakannya rosak akibat peluru tersekat.
“Saya terkena tembakan lapan peluru pada beberapa bahagian badan sebelah kiri termasuk di bawah lengan, rusuk serta paha oleh Raja Lanun selain peluru pada senjata sendiri.
“Kecederaan teruk yang dialami itu menyebabkan saya berlumuran darah dan terpaksa berundur,” katanya yang akan menerbitkan buku baharu mengenai operasi itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, tindakan berani berdepan dengan Raja Lanun itu membolehkan kawasan Port Weld ‘merdeka’ daripada cengkaman lanun.
“Selepas kejadian itu, kumpulan Raja Lanun dibubarkan berikutan dia berjaya meloloskan diri ke Thailand dan dipercayai mati akibat sakit tua ketika berusia 90 tahun di sebuah pulau di negara berkenaan.
“Meskipun tragedi itu menyebabkan saya mengalami kecederaan parah akibat tembakan namun saya berbangga dengan tindakan yang diambil berjaya melumpuhkan kegiatan kumpulan Raja Laut,” katanya.
Beliau menyimpan hasrat untuk mendapatkan semula senapang yang digunakan semasa operasi khas itu daripada PDRM bagi mengingati insiden berkenaan yang dianggap istimewa dalam hidupnya.
“Sebelum ini, saya ada memohon untuk mendapatkan semula senjata itu yang sudah rosak dalam operasi berkenaan bagi disimpan sebagai kenangan.
“Namun sehingga kini, tiada jawapan diterima untuk permohonan itu. Tiada lain yang saya impikan, hanya mahu mendapatkan semula senjata itu untuk disimpan,” katanya.
Menurutnya, beliau menganggap pingat paling besar diterimanya sepanjang berkhidmat dalam PDRM adalah serpihan peluru yang masih ada di dalam badannya.
“Saya tidak pernah menerima pingat yang tinggi atas perjuangan dalam pasukan sebelum ini. Namun, saya tidak kisah kerana apa yang saya mahu adalah senjata itu sebagai penghargaan.
“Dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan termasuk anggota polis, apa yang penting adalah semangat kerja dengan melakukan tugas bersungguh-sungguh,” katanya.- HARIAN METRO