Tumpuan :
Sukan

Chun Chen Menyerlah, Tambah Tiga Koleksi Emas

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Gimnas Pulau Pinang Ng Chun Chen terus membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri, selepas meraih tiga emas acara akhir apparatus individu lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) hari ini.

Chun Chen pada pertandingan berlangsung di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) itu terus menyerlah selepas muncul juara tiga daripada enam acara apparatus, membabitkan senaman lantai, gelang roman dan palang sejajar.

Pada acara senaman lantai Chung Chen menerima cabaran sengit atlet Terengganu Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam yang turut mengumpul 13.233 mata untuk meraih emas bersama, menyaksikan tiada pingat perak diberikan.

Sementara pingat gangsa acara itu diraih atlet Perak Luqman Al Hafiz Zulfa yang mencatat 13.100 mata.

Chung Chen dalam masa sama, berkongsi 12.867 mata bagi meraih emas bersama acara gelang roman dengan atlet Sarawak Ally Hamuda Abdullah sementara gangsa menjadi milik Luqman Al Hafiz (12.767 mata).

Atlet berusia 19 tahun itu kemudian menambah satu lagi emas buat dirinya bagi acara palang sejajar, setelah mencatat 13.633 mata diikuti Luqman Al Hafiz (12.867 mata) dan Muhammad Sharul (11.933 mata).

Semalam, Chung Chen menceriakan kontinjen Pulau Pinang selepas berjaya merangkul pingat emas bagi acara all-round individu lelaki.

“Hari ini saya rasa berpuas hati dengan keputusan diraih selepas meraih emas juga semalam. Bila dapat atasi gemuruh memang mudah untuk mendapatkan markah yang baik.

“Walaupun mengalami sedikit kecederaan namun mental saya perlu kuat dan saya berjaya buktikan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu bagi acara akhir apparatus individu wanita yang turut berlangsung hari ini, menyaksikan atlet Pulau Pinang Zarith Imaan Khalid mendominasi tiga daripada empat acara apparatus dipertandingkan.

Zarith Imaan yang juga merupakan atlet kebangsaan muncul juara bagi acara palang bertingkat, batang titian dan senaman lantai. – BERNAMA

Loading...
Terkini