IPOH: Cebisan rangka kedua tulang manusia dipercayai mangsa insiden runtuhan batu tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai pada Mac lalu, ditemukan tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Shahrizal Aris berkata, ia ditemui jam 12 tengah hari, berhampiran lokasi jengkaut kedua yang ditemui semalam.
“Bagaimanapun, kerja-kerja mengeluarkan rangka kedua itu terpaksa dihentikan sementara susulan hujan lebat kira-kira jam 12.45 tengah hari atas nasihat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Operasi akan diteruskan (hari ini) namun ia bergantung kepada keadaan cuaca hari ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut beliau, operasi bermula jam 8 pagi tadi dengan kekuatan 10 anggota.
Semalam, Muhamad Shahrizal dilapor berkata, bangkai jengkaut kedua ditemui di lokasi kejadian itu dengan jarak kira-kira tiga meter daripada jengkaut pertama ditemukan.
Terdahulu, bangkai jengkaut pertama ditemukan pada kira-kira jam 11.45 pagi semalam, sebelum pencarian di kawasan sekitar menemukan cebisan baju dan rangka manusia, kira-kira setengah jam kemudian.
Dua mangsa dipercayai tertimbus pada insiden runtuhan batu kuari di sini, 8 Mac lalu. Mangsa dikenal pasti sebagai Itam Bah Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.